Jumat, 08 Mei 2015

Jahiliyyah Abad 20

Allah s.w.t. memaklumkan di dalam kitab-Nya mengenai manusia yang menyembah makhluk selain daripada Dia, dan mengambil patung dan berhala sebagai dewa semabahan begitu juga dengan kisah-kisah mengenai perjuangan gigih para utusan-Nya ketika berhadapan dengan kaum tersebut. Sebahagian besar individu menganggap bahawa masyarakat zaman lalu yang menyembah patung memiliki cara hidup yang primitif dan disebabkan itulah mereka berpegang kepada amalan tersebut. Akibatnya, mereka menganggap sesetengah kaum asli Afrika yang sehingga hari ini menyembah patung adalah kerana keprimitifan mereka.
Namun begitu, pemerhatian yang lebih teliti ke atas pemahaman dan sudut pandangan masyarakat lalu yang dikenali sebagai jahiliyyah di dalam Al-Qur’an mendedahkan bahawa mereka memilik banyak persamaan dengan golongan tertentu yang ada hari ini. Seperti mana masyarakat pagan lalu menjadikan patung dan objek kayu dan batu sebagai tuhan, rasional yang menganggap materi yang tidak bernyawa sebagai suatu bentuk pemujaan juga turut menjadi anutan yang dominan di zaman kita ini. Sebelum meneruskan perbandingan di antara rasional masyarakat pagan lalu dan hari ini, kita akan memerhatikan beberapa ayat Qur’an berkenaan masyarakat ini.
Salah satu daripada kaum yang dikenal pasti di dalam al-Qur’an ialah kaum Nabi Ibrahim:

Ingatlah ketika ia berkata kepada ayahnya: ‘Wahai ayahku! Mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong kamu sedikit pun?’. Surah Maryam: 42

Ketika Ibrahim berkata kepada ayahnya dan kaumnya: ‘Patung-patung apakah ini yang kamu tekun beribadah kepadanya?’. Mereka menjawab: ‘Kami mendapati ayah-ayah kami menyembahnya’. Surah al-Anbiya: 52-54

Seperti yang tersebut di atas, bapa Nabi Ibrahim a.s dan kaumnya menjadikan material kaku yang dihasilkan dengan tangan mereka sendiri malah tidak mempunyai sebarang kuasa mencipta sebagai tuhan sembahan. Dengan menganggap apa sahaja sebagai tuhan adalah bererti menyifatkannya (samada separuh atau seluruhnya) sebagai kuasa yang bertanggungjawab ke atas penciptaan, memberi rezeki, memberi rahmat, menyembuhkan, merancang dan mengawal proses alam semesta. Para musyrikin di zaman Nabi Ibrahim a.s percaya bahawa setiap bentuk patung yang diukir oleh mereka sendiri memiliki kekuasaan yang disebutkan di atas dan sekaligus mengangkatnya sebagai tuhan sembahan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar